Custom Search

ANKARA, Turkey 26 Feb. - Sebuah mahkamah Turki hari ini mendakwa 11 lagi pegawai atasan tentera atas tuduhan merancang komplot untuk menjatuhkan kerajaan Islam di negara ini beberapa tahun lalu, sekali gus meningkatkan jumlah pegawai tentera yang dipenjarakan kepada 31 orang - termasuk pegawai yang masih berkhidmat dan telah bersara serta empat jeneral.

Sebelas pegawai tentera yang didakwa itu termasuk dua pegawai yang masih berkhidmat dan seorang jeneral bersara.

Pegawai-pegawai itu didakwa beberapa jam selepas pendakwa raya membebaskan bekas ketua tentera laut, tentera udara serta seorang jeneral tertinggi tanpa segera mendakwa mereka, selain menyatakan bahawa mereka tidak mungkin akan terlepas.

Kerajaan telah menahan 49 pegawai tentera berkedudukan tinggi minggu ini atas tuduhan berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan pada tahun 2003, setahun selepas parti yang memerintah mula berkuasa.
Siasatan berhubung perkara itu telah menimbulkan ketegangan antara dua kuasa politik utama di Turki, kerajaan Islam dan pentadbiran tentera - dikhuatiri akan memberi kesan kepada sektor perniagaan dan pelaburan termasuk 'mengganggu' pasaran.

Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan tidak mengendahkan permintaan pembangkang supaya pilihan raya diadakan lebih awal dan menemui ketua tentera negara itu semalam bagi meredakan ketegangan berhubung siasatan yang dilakukan oleh kerajaan itu.

Pemimpin pembangkang mendakwa, siasatan yang tidak mengikut Perlembagaan itu mungkin berkaitan politik, dakwaan yang dinafikan oleh kerajaan.

Menurut kerajaan, pihaknya cuba meletakkan tentera, yang pernah menumbangkan empat kerajaan awam sejak 1960 itu di bawah perundangan awam, sebagaimana yang dilakukan oleh negara-negara demokrasi Barat.

Dakwaan itu dibuat berdasarkan bukti intipan dan penemuan rancangan untuk satu rampasan kuasa tentera yang dirangka pada 2003. - AP

0 comments