Custom Search

BAITULMUQADDIS - Pejuang-pejuang Palestin semalam melancarkan serangan mortar dari Semenanjung Gaza ke utara Israel namun ia tidak menyebabkan sebarang kecederaan dan kerosakan.

Menurut seorang jurucakap tentera Israel, serangan mortar itu tersasar ke sebuah padang yang kosong di Eshkol. 

Sebanyak 23 bedilan mortar dan tiga pelancar roket dilancarkan ke Israel oleh para pejuang Palestin sejak Ahad lalu, kata tentera.

Salah satu serangan roket itu hampir mengenai sebuah tadika di utara Israel yang telah mencederakan seorang remaja perempuan.

Pada 18 Disember lalu, jet-jet pejuang Israel menggempur Gaza dan membunuh lima pejuang Palestin. - AFP


SYDNEY - Kerajaan Australia memohon maaf secara rasmi kepada seorang doktor dari India, Mohammed Haneef kerana silap menahannya pada 2007 berhubung serangan ekstremis yang gagal di beberapa lapangan terbang di London dan Glasgow.

Permohonan maaf itu dibuat selepas bayaran ganti rugi yang jumlahnya tidak didedahkan telah diberikan kepada Dr. Mohammed.

Doktor itu sebelum ini ditahan dan didakwa membantu organisasi pengganas selepas kad modul pengenalan pelanggan (SIM) telefon bimbitnya dikaitkan secara silap dengan percubaan untuk meletupkan kereta.

"Persekutuan Polis Australia (AFP) mengetahui ia merupakan satu kesilapan dan Dr. Mohammed tidak bersalah berhubung perbuatan yang disyaki," menurut kenyataan rasmi peguam negara Australia dalam laman web semalam.

Dr. Mohammed ditahan di bawah undang-undang antipengganas semasa dia menunggu untuk menaiki penerbangan sehala dari Queensland ke India selain ditahan selama 12 hari sebelum didakwa. - AFP


 

WASHINGTON 20 Dis. - Sekurang-kurangnya suku juta penduduk dunia maut dalam bencana alam seperti gempa bumi, banjir, letusan gunung berapi, kemarau dan tanah runtuh tahun ini, lebih ramai berbanding kematian akibat serangan keganasan dalam tempoh 40 tahun lalu.

Pentadbir Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan Amerika Syarikat (AS), Craig Fugate berkata, tahun 2010 juga merupakan tahun paling tragik dalam tempoh lebih satu generasi yang menyaksikan begitu banyak bencana alam berlaku.

"Tahun ini, bencana alam terjadi tanpa henti dalam banyak gelombang. Istilah 'peristiwa dalam masa 100 tahun' tidak boleh lagi diguna pakai tahun ini," katanya.

Saintis dan pakar bencana alam menjelaskan, manusia perlu dipertanggungjawabkan di atas semua malapetaka yang berlaku.

Mereka berkata, walaupun kebanyakan bencana alam boleh berlaku bila-bila masa, campur tangan manusia menyebabkan lebih banyak kematian, kemusnahan selain keadaan yang lebih buruk.

Sebagai contoh, gabungan aktiviti pembinaan dan amalan pembangunan yang tidak mengikut standard, boleh menyebabkan kesan gempa bumi yang lebih buruk di samping mengakibatkan lebih banyak kematian.

"Bencana alam seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi berlaku secara tetap. Semua perubahan yang terjadi adalah disebabkan campur tangan manusia," kata Naib Presiden Swiss Re, syarikat insurans kedua terbesar dunia.

Menurut saintis, iklim Bumi juga berubah disebabkan fenomena pemanasan global yang berpunca daripada kegiatan manusia, sekali gus menyebabkan cuaca yang ekstrem seperti kepanasan melampau serta banjir.

Ogos lalu, cuaca panas melanda Rusia, sementara jauh di selatan, sebahagian besar Pakistan ditenggelami banjir. Cuaca ekstrem di kedua-dua negara itu membunuh hampir 17,000 orang, kematian yang lebih ramai berbanding jumlah korban nahas udara dalam tempoh 15 tahun lalu.

"Kematian ini dilihat sebagai tindakan membunuh diri. Kita membina rumah yang boleh membunuh jika gempa bumi berlaku. Kita juga membina rumah di zon banjir yang boleh melemaskan kita," kata profesor sains geologi di Universiti Colorado, Roger Bilham. - AP



 

KABUL: Serangan bunuh diri menyasarkan pusat rekrut tentera Afghanistan dan sebuah bas tentera di Kabul semalam, menyebabkan 10 askar dan polis terbunuh, kata pihak berkuasa.

Bas terbabit diserang dua penyerang bunuh diri yang membunuh lima anggota tentera dan cederakan sembilan yang lain, kata jurucakap Kementerian Pertahanan.

Kenderaan terbabit dalam tugasan harian membawa kakitangan dari pusat latihan tentera di Kabul ke tempat kerja mereka di mana dua pengebom bunuh diri menyerang dengan menembak menggunakan senjata automatik, kata Jeneral Mohammad Zahir Azimi.

“Seorang daripada penyerang bunuh diri terbabit ditembak mati tetapi yang kedua berjaya meletupkan bahan letupan yang dipasang pada badannya dan mengorbankan lima askar kami serta mencederakan sembilan yang lain,” kata Azimi.

Kejadian berlaku di jalan Pul-e-charkhi yang menyambungkan ibu negara Kabul ke timur wilayah Afghanistan.

Banyak pangkalan tentera asing dan kemudahan latihan pasukan keselamatan Afghanistan di sepanjang laluan terbabit menyebabkan ia sering menjadi laluan kepada pasukan tentera Afghanistan dan NATO.

Kabul dilihat aman sepanjang tahun lalu tetapi laluan jalan raya terbabit menyaksikan sebilangan serangan berdarah terhadap pasukan keselamatan. – AFP



GAZA CITY 19 Dis. - Lima pejuang Palestin terbunuh dalam serangan pesawat tentera Israel di Genting Gaza, menurut sumber dari pihak berkuasa Palestin dan Israel, hari ini.

Serangan itu merupakan yang terburuk sejak Israel melancarkan serangan terhadap kerajaan Hamas di Gaza yang berlarutan sehingga 22 hari bermula pada penghujung Disember 2008 hingga mengorbankan 1,400 nyawa rakyat Palestin yang kebanyakkannya adalah orang awam.

Saksi berkata, seorang lelaki bersenjata cuba melepaskan tembakan roket ke arah pesawat tentera Israel itu tetapi dia terbunuh apabila tentera rejim Israel terlebih dahulu menembaknya.

Perkhidmatan keselamatan Hamas yang menguasai Gaza mengesahkan kelima-lima mereka yang terbunuh adalah warga Palestin yang berumur dalam lingkungan 20-an dan mereka maut akibat serangan udara yang dilancarkan oleh zionis Israel. - AFP



 

JERUSALEM - Israel tidak mampu untuk menewaskan tentera pergerakan Hezbollah, kata bekas jeneral tentera Israel dan penasihat keselamatan negara itu, Giora Eiland.

Menurutnya, pegerakan Hezbollah itu mampu menghancurkan Israel sekiranya peperangan berlaku.

Beliau berkata, tentera pergerakan Hezbollah berjaya mengekang kemaraan Israel dan telah menembak 4,000 buah roket ke wilayah Israel ketika perangan pada 2006.

"Israel tidak tahu cara untuk kalahkan Hezbollah.

"Peperangan yang dicetuskan antara Israel dan Hezbollah mungkin kurang memberi ancaman kepada Hezbollah," katanya kepada Radio Israel.

"Namun, Hezbollah mampu melakukan lebih teruk lagi seperti yang pernah dilakukan empat setengah tahun lalu ke atas Israel," kata Eilend yang pernah berkhidmat dengan dua orang bekas perdana menteri Israel, Ariel Sharon dan Ehud Olmert.- Reuter



NEW YORK – Penggodam-penggodam melancarkan serangan siber ke atas laman jaringan sosial Twitter dengan menggunakan lebih 1.3 juta kata laluan yang dicuri daripada laman web media, Gawker, lapor sebuah akhbar semalam.

Penggodam-penggodam tersebut menggunakan kata laluan yang dicuri untuk menceroboh ke dalam beribu-ribu akaun pengguna Twitter.

Mereka kemudian menghantar mesej sampah promosi minuman buah beri dari akaun-akaun yang digodam itu.

Mengulas mengenai serangan siber itu, Twitter menyatakan, pengguna- pengguna yang menggunakan kata laluan untuk laman web Gawker dan Twitter yang sama atau akaun perbankan Internet berisiko terkena serangan tersebut.

Bilangan sebenar akaun Twitter yang digodam

tidak dapat dipastikan tetapi dalam masa beberapa jam sahaja, beratus-ratus ribu daripada sejumlah 175 juta akaun Twitter telah menyebarkan mesej sampah itu.

Motif serangan tersebut mungkin disebabkan laman web Gawker kerap mengkritik sebuah kumpulan penggodam komputer yang dikenali sebagai 4Chan. – Agensi


 

TEHRAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, memecat Menteri Luarnya, Manoucher Mottaki (atas), dan menggantikannya dengan Ali Akbar Salehi buat sementara, lapor agensi berita negara itu, semalam.

“Saya mengucapkan terima kasih atas kerja dan khidmat kamu ketika bertugas di Kementerian Luar,” kata Ahmadinejad yang dilaporkan berkata tanpa memberitahu sebab mengambil tindakan itu.

Tetapi, sejak setahun lalu, Mottaki dilaporkan membantah keputusan Ahmadinejad melantik sendiri wakil luarnya ke Asia Barat, Afghanistan dan rantau Kaspia kerana dianggap memalukan kementeriannya.

Mottaki dikatakan meminta bantuan pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang menyokongnya dan memaksa Ahmadinejad mengubah pendirian.

Media Iran juga melaporkan ada ahli perundangan yang mendesak Mottaki dipecat sejak itu atas alasan beliau gagal mempertahankan Iran di peringkat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam isu nuklear.

Mottaki dilantik sebagai Menteri Luar pada Ogos 2005 dan ketika ini melakukan lawatan rasmi di Senegal.

Salehi adalah antara 12 naib presiden Iran dan mengetuai pertubuhan tenaga atom negaranya. Mengikut undang-undang, presiden Iran perlu mengemukakan calon menteri kepada Parlimen untuk kelulusan.

Pemecatan Mottaki berlaku beberapa hari selepas Iran mengadakan rundingan di Geneva dengan kuasa dunia mengenai program nuklearnya iaitu pada 6 dan 7 Disember lalu. – AP/AFP



KOTA BHARU – Niat seorang guru wanita untuk membantu seorang lelaki Iraq mempelajari agama Islam bukan sahaja tidak tertunai malah mendakwa kerugian RM15,000 apabila diperdaya suspek yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook itu Rabu lalu.

Wanita berumur 42 tahun dan menetap di Taman Uda Murni di sini sebelum itu dikatakan telah berkenalan dengan lelaki terbabit pertengahan bulan lalu.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, selepas bertukar-tukar maklumat melalui laman sosial tersebut beberapa minggu kemudian, suspek memberitahu yang dia berhasrat untuk mempelajari Islam pada 30 November lalu.

Katanya, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa bersetuju untuk membantu suspek.

“Mangsa bagaimanapun telah menerima panggilan daripada suspek keesokan harinya mengatakan yang dia telah ditahan oleh pihak Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana tidak mengisytiharkan wang pound sterling 360,000 (RM1.7 juta) yang dibawanya.



LONDON - Seorang usahawan Internet, Andrew Mason, 29, bakal mengikuti jejak langkah pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg, 26, dengan menjadi bilionair apabila dia bersetuju untuk menjual laman web beliau kepada enjin carian Internet, Google, lapor sebuah akhbar semalam.

Mason dikatakan bersetuju untuk menjual laman web bernama Groupon itu kepada Google dengan harga £4.1 billion (RM20.2 billion).

Beliau sebelum ini turut dilaporkan menolak tawaran daripada sebuah lagi enjin carian Internet, Yahoo kerana ia hanya menawarkan sebanyak £1.3 billion (RM6.4 billion) untuk membeli laman web terbabit.

Laman web yang telah dibina sejak dua tahun lalu itu telah menawarkan sebanyak 1,000 peluang pekerjaan di tempat kelahiran Mason iaitu Chicago, Amerika Syarikat selain digunakan oleh 2.5 juta pengguna di Britain.

Bagaimanapun kerana kelebihan yang ditawarkan seperti diskaun pembelian tiket wayang dan pelbagai barangan lain melalui Internet sehingga 90 peratus, jumlah pelayar kini semakin bertambah sebanyak 10 peratus setiap minggu.

Bagaimanapun, ia masih tidak boleh menyaingi Facebook kerana laman sosial itu kini bernilai £32 billion (RM158.1 bilion). - Agensi

 

SANTA FE - Seorang juruterbang Argentina, Dino Moline nyaris maut selepas salah satu sayap pesawat ringannya patah ketika dia melakukan aksi lagak ngeri di udara, lapor sebuah akhbar semalam.

Rakaman video menunjukkan nahas udara itu berlaku ketika Moline beraksi dalam satu pertunjukan udara di sini, baru-baru ini.

Seramai 3,000 penonton melihat insiden itu dengan diselubungi perasaan cemas apabila sayap pesawat pasukan Briged Udara RANS tiba-tiba patah pada ketinggian 500 meter.

Namun, juruterbang itu bernasib baik kerana dia sempat mengaktifkan sistem payung terjun dan keluar dari pesawat itu dengan selamat sebelum ia terhempas.

"Saya selamat, cuma kaki saya yang melecur," katanya selepas nahas udara itu. - Agensi



 

BANDARAYA GAZA: Tentera Israel menembak serta mencederakan empat rakyat Palestin ketika mereka mencari bahan binaan berdekatan sempadan Gaza dan Israel, lapor sumber perubatan, semalam. 

Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun antara mangsa yang ditembak di utara bandar Beit Hanun, kata jurucakap perkhidmatan kecemasan Gaza.

Tentera Israel mengesahkan menembak beberapa orang yang menghampiri pagar sempadan selepas mereka enggan menghiraukan tembakan amaran.

“Tentera menembak di bahagian bawah tubuh dan mengenai seorang daripada mereka,” kata jurucakap itu. Beliau tidak tahu dengan nasib tiga mangsa lagi. Penduduk Gaza biasanya terdedah dengan kematian ataupun kecederaan dalam usaha mencari batu kerikil daripada runtuhan bangunan terbiar di sempadan negara Zionis itu. - AFP


 

ST. PETERSBURG - China dan Rusia mengumumkan tidak akan menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) dalam perjanjian perdagangan bilateral terbaru melibatkan kedua-dua buah negara, lapor sebuah akhbar semalam.

Kedua-dua negara itu akan menggunakan mata wang masing-masing bagi menggantikan dolar AS.

Keputusan itu diumumkan oleh Perdana Menteri China, Wen Jiabao dan rakan sejawatannya Vladimir Putin.

Ia dilihat sebagai bukti hubungan antara kedua-dua buah negara yang semakin kukuh dan bertujuan untuk melindungi ekonomi domestik.

"Selama ini kami menggunakan mata wang asing iaitu dolar AS. Sebagai langkah pertama, perdagangan menggunakan Rubel Rusia sudah bermula di China. Pada Disember nanti, yuan pula akan digunakan di Moscow," jelas Putin.

Kedua-dua pemimpin itu bertukar-tukar dokumen semasa mesyuarat yang berlangsung di St. Petersburg.

China mewakili 8.3 peratus perdangangan keseluruhan Rusia. - Agensi



ALPHEN AAN DEN RIJN, Belanda - Satu kajian oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Wageningen, Belanda mendapati radiasi daripada rangkaian gelombang tanpa wayar (Wifi) mungkin boleh menyebabkan pokok yang terdapat berdekatan dengan peranti penghala Internet tanpa wayar mati, lapor sebuah akhbar semalam.

Para saintis itu memperoleh hasil kajian tersebut selepas melakukan kajian ke atas 20 batang pokok ash yang daunnya menjadi kuning.

Hasil kajian itu menimbulkan kebimbangan bahawa radiasi Wifi boleh memberi kesan terhadap tubuh manusia.

Ia turut menyebabkan ibu bapa dan guru-guru berkempen agar peranti Wifi tidak dipasang di sekolah.

Bandar Alphen aan den Rijn yang terletak di barat Belanda mengarahkan kajian itu dilakukan sejak lima tahun lalu selepas mendapati pokok-pokok di kawasan itu mengalami situasi yang tidak normal.

Kajian itu mendapati pokok yang diletakkan paling hampir dengan radio Wifi mempunyai daun berwarna kuning berikutan lapisan kulit luar pokok mulai mati.

Para penyelidik juga mendapati radiasi Wifi boleh menyebabkan pertumbuhan jagung menjadi perlahan. - Agensi


 

SINFIN - Seorang lelaki kurang upaya di Britain, Richard Shakespeare menubuhkan sebuah syarikat perunding bagi memberi nasihat mengenai perkhidmatan untuk golongan kurang upaya selepas 1,923 permohonan kerjanya ditolak, lapor sebuah akhbar semalam.

Shakespeare, penghidap sakit saraf Cerebral Palsy yang menyebabkan pergerakannya terbatas turut membelanjakan £1,000 (RM4,965) bagi membeli setem selama 12 bulan selepas dia diberhentikan daripada jawatan sebagai penasihat pelanggan sebuah bank Internet.

"Namun, sesudah setahun tidak mendapat kerja, saya mula tertekan dan peluang kerja yang bersesuaian dengan diri saya pula semakin berkurangan," katanya.

"Saya kemudian terfikir bahawa ratusan syarikat tidak memiliki pengalaman mengenai cara berurusan dengan orang kurang upaya dan saya sebagai seorang kurang upaya boleh membimbing mereka," tambahnya.

Idea tersebut menyebabkan dia menubuhkan sebuah firma perunding bagi membimbing majikan mengenai kaedah berurusan dengan golongan kurang upaya.

Kini, firmanya memperoleh kejayaan yang memberangsangkan.

Pada Oktober tahun lalu, Shakespeare mendapat pelanggan terbesarnya yang pertama apabila pengurus Hotel Novotel, Mike Colman meminta khidmat nasihatnya mengenai cara meningkatkan tahap perkhidmatan di hotelnya. - Agensi 



 

TEHERAN - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad akan melelong kereta Peugeot 504 yang dimilikinya pada 1977 untuk tujuan kebajikan, lapor sebuah stesen televisyen semalam.

Wang hasil lelongan kereta itu akan diserahkan kepada projek perumahan Mehr untuk penduduk yang berpendapatan rendah.

"Kereta itu akan dijual dalam satu lelongan antarabangsa," kata Menteri Kebajikan dan Keselamatan Sosial, Sadeq Mahsouli dalam laman web televisyen tersebut.

Selepas beliau dipilih menjadi Presiden Iran pada 2005, antara aset yang diisytiharkannya ialah rumah di kawasan kelas pertengahan berusia 40 tahun di timur Teheran dan kereta Peugeot berwarna putih.

Pada Februari lalu, Menteri Perumahan, Ali Nikzad menyatakan, kira-kira satu juta penduduk Iran layak untuk mendapatkan rumah kos murah itu. - AFP 


 

KABUL, Afghanistan - Pergerakan Taliban semalam menyatakan pelan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk mengeluarkan askar-askar asing dari medan perang Afghanistan pada sepenuhnya pada 2014 menunjukkan tanda-tanda kegagalan pemerintah Amerika Syarikat (AS).

Menurut Taliban, satu perjanjian yang ditandatangani di Lisbon, Portugal yang dihadiri Presiden AS, Barack Obama itu menunjukkan AS gagal untuk mendapatkan bantuan tentera asing menerusi negara-negara yang menyertai NATO atau memperoleh satu komitmen untuk meneruskan operasi ketenteraan bagi tempoh jangka panjang di Afghanistan.

Dalam Sidang Kemuncak di Portugal itu kelmarin, NATO akan menyerahkan semua bentuk kawalan sepenuhnya kepada pasukan keselamatan Afghanistan menjelang 2014.

"Ia merupakan berita baik untuk penduduk Afghanistan dan bagi semua orang yang menyintai kebebasan di dunia dan ia menunjukkan kegagalan pemerintah Amerika," kata satu kenyataan Taliban menerusi e-mel.

"Sejak lapan tahun lalu, pihak penceroboh tidak dapat membentuk sebarang sistem pemerintahan di Kabul dan mereka tidak akan mampu melakukannya," tambah kenyataan tersebut.

Menurut jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid pihaknya akan memerangi askar-askar asing walaupun pengumuman askar itu telah dibuat.

Pada tahun 2009, Presiden AS, Barack Obama menyatakan pentadbirannya akan mula mengeluarkan tentera AS dari Afghanistan mula Julai 2011.

Dalam pertempuran di sekitar Afghanistan, NATO menyatakan pasukan tentera antarabangsa dan Afghanistan berjaya membunuh 20 orang pejuang Taliban dalam satu siri operasi sepanjang hujung minggu lalu.

Tentera AS dan sekutu-sekutunya menyerang Afghanistan sebulan selepas AS diserang pengganas pada 11 September 2001 yang menyebabkan kira-kira 3,000 penduduk terbunuh di New York.

Seramai 100,000 askar AS ditempatkan di negara itu diikuti negara-negara lain dengan tujuan untuk memerangi pergerakan Taliban dan Al-Qaeda yang didakwa AS menjadi tempat persembunyian anggota-anggota pengganas. - Agensi



Seorang penjenayah siber Malaysia dikatakan berjaya menggodam rangkaian komputer Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dan mencuri hampir setengah juta nombor pemegang kad kredit dan debit, kata pejabat Peguam Negara di New York.

cyberterrorismLin Mun Poo, seorang warga negara Malaysia ditahan 21 Oktober lalu selepas memasuki Amerika Syarikat dihadapkan di mahkamah juri, semalam. Beliau dituduh atas kesalahan menggodam Bank Pusat Amerika di cawangan Cleveland, Ohio dalam beberapa serangan menggodam untuk mencuri lebih 400,000 nombor kad kredit.

Beliau juga didakwa kerana memecah beberapa sistem pertahanan komputer di negara itu.

Poo yang kini dalam tahanan untuk perbicaraan dikatakan amat cemerlang dalam kerjayanya di beberapa institusi kewangan, mengambil kontrak untuk mengukuhkan sistem pertahanan komputer, termasuk menjual dan memperdagangkan maklumat," kata pejabat Peguam Negara Amerika.

internet media and print mediaPasukan perkhidmatan perisikan Amerika memberkas Poo yang berusia 32 tahun itu beberapa jam selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy di New York.

“Ejen perisikan merampas komputer bimbit Poo yang mengandungi ribuan data akaun kewangan dan maklumat peribadi yang dipercayai diperolehnya menerusi kegiatan penggodaman," katanya.

Ketua perkhidmatan perisikan Amerika, Brian Parr, berkata antara kegiatan Poo yang dikesan ialah memecah masuk sistem pertahanan kontraktor Pentagon yang 'mengandungi maklumat logistik ketenteraan yang amat sensitif'. - AFP


PADANG ARAFAH, Arab Saudi - Dengan memakai ihram, sekitar dua juta umat Islam melakukan wukuf di sini bagi menunaikan rukun kedua ibadat haji.

Ramai jemaah memulakan perjalanan sebelum subuh dalam usaha mereka untuk sampai ke puncak Bukit Arafah yang juga dikenali sebagai Jabal ar-Rahmah, di luar tanah haram iaitu kira-kira 18 kilometer dari kota Mekah.

Bukit tersebut merupakan tempat Nabi Muhammad s.a.w menyampaikan khutbah terakhir kepada umat Islam.

Mereka yang berjaya sampai bukit itu selepas berasak-asak duduk di lereng-lereng bukit sambil berdoa dan membaca al-Quran.

Sejumlah lagi dilihat menggunakan telefon bimbit untuk merakamkan gambar manakala sebahagian lagi jemaah duduk di atas hamparan tikar di atas batu-batu di bukit berkenaan.

"Sukar untuk saya menggambarkan perasaan saya. Saya seperti berada pada Hari Kebangkitan," kata seorang jemaah dari Syria, Mossaad Mheymeed ketika berdiri di puncak Jabal ar-Rahmah.

"Syukur kepada Tuhan kerana memberikan nikmat ini," kata rakannya, Hussein al-Alawi, 55, juga dari Syria.

Wukuf atau berhimpun di Padang Arafah yang menandakan kemuncak dalam ibadah haji bermula kelmarin apabila lebih dua juta umat Islam beredar dari Mekah untuk menuju ke Mina.

Setakat ini, tiada laporan berhubung sebarang kemalangan besar berlaku di Arafah.



Rakyat Malaysia merupakan antara pengguna aplikasi rangkaian sosial Facebook, Friendster dan Twitter yang tertinggi di dunia.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, dianggarkan terdapat 7.5 juta pemilik akaun Facebook di Malaysia kini.

“Ini adalah potensi rakyat yang harus digunakan oleh industri dalam bidang ini untuk memajukan negara khususnya menerusi kandungan mudah alih.

“Terdapat fakta yang menunjukkan bahawa kewujudan Facebook, Twitter, inovasi platform Android, aplikasi dalam talian dan mudah alih telah mengubah landskap komunikasi, pemikiran manusia dan melahirkan jutawan baru di Amerika Syarikat,” katanya.



 

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan serta-merta hasrat baginda untuk menghadiri majlis makan tengah hari sempena sambutan ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor Isnin ini selepas mendapat tahu kos majlis di Asrama Tun Dr. Ismail di Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu melebihi RM300,000.

Jumlah itu bermakna kos menanggung jamuan 2,200 tetamu pada majlis itu ialah kira-kira RM136 seorang.
Hasrat baginda untuk tidak menghadiri majlis itu dinyatakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ramli Mahmud pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Ramli, baginda pada mulanya berkenan berangkat ke majlis tersebut atas dasar Yayasan Selangor adalah badan kebajikan kerajaan negeri yang bertanggungjawab memantapkan pendidikan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan di kawasan luar bandar.

“Bagaimanapun, baginda terkejut dan amat dukacita apabila mendapat tahu kos untuk majlis makan tengah hari itu yang menelan belanja melebihi RM300,000 adalah satu bentuk pembaziran,” katanya.


 

OTTAWA: Masjid pertama Kanada di Artik dibuka semalam di Inuvik untuk memulakan khidmat sebagai rumah ibadat di kawasan komuniti Islam di sana.

‘Masjid pasang siap’ itu tiba di bandar utara kecil bulan lalu melalui perjalanan 4,000 kilometer (km) melalui darat dan air.

Beberapa wartawan termasuk pemberita televisyen Arab menyertai penduduk Islam tempatan untuk majlis pembukaannya.

Bilangan penduduk Islam di bandar dengan 4,000 penduduk di Wilayah Barat Laut Kanada itu meningkat sejak beberapa tahun kepada kira-kira 80 orang. Mereka sebelum ini beribadat di dalam sebuah karavan berukuran tiga kali tujuh meter sehingga ia tidak lagi dapat menampung bilangan jemaah.

Masjid baru yang digelar sebagai masjid kecil di Tundra oleh media Kanada itu dihiasi dengan permaidani merah di ruang utama, mempunyai sebuah dapur dan perpustakaan, kata ahli jawatankuasa masjid, Amer Suliman.

“Langit kelabu tetapi lampu dari masjid dan kubah menjadikan ia terang, ia tidaklah terlalu sejuk di luar sana dan tetamu berkumpul di sini,” katanya yang dihubungi.

Bangunan pasang siap itu dibawa dari Manitoba kerana harga bagi buruh dan bahan adalah lebih rendah berbanding di bahagian utara Kanada. – AFP

SYDNEY - Juruterbang pesawat Airbus A380 yang melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura akibat kerosakan satu enjin pesawat itu menerima pujian ekoran kemampuannya mengendalikan pendaratan tanpa berlaku sebarang kemalangan jiwa. 

Juruterbang kelahiran Australia, Richard Champion de Crespigny (gambar) berjaya mendaratkan pesawat yang membawa 459 orang dengan hanya mengalami kerosakan pada salah satu sayapnya. 

Para penumpang memuji cara de Crespigny, 53, yang memiliki pengalaman selama 35 tahun dalam penerbangan, menenangkan mereka menerusi pemberitahuan melalui alat Intercom dalam pesawat Airbus ketika saat cemas itu berlaku. 

"Saya memohon maaf. Saya pasti anda sedar bahawa enjin kedua pesawat mengalami masalah teknikal. Anda juga pasti tahu bahawa kita tidak akan meneruskan perjalanan ke Sydney. 

"Buat masa sekarang, pesawat terbang dalam keadaan selamat. Terima kasih di atas kesabaran anda," kata de Crespigny menerusi rakaman mengenai insiden yang disiarkan di Internet. 

"Kapten dan krewnya sangat hebat," kata seorang penumpang, Simon Johnson yang memberitahu para penumpang tidak berasa panik tetapi mengaku kecut perut apabila terdengar bunyi yang kuat dari dalam pesawat. 

Isteri juruterbang itu, Coral Champion de Crespigny menyatakan, dia tidak terkejut dengan sikap tenang Richard ketika berdepan dengan situasi sebegitu. 

"Saya boleh katakan bahawa para penumpang sangat bertuah kerana Richard yang menjadi juruterbang mereka," katanya kepada akhbar The Australian. - AFP


 

ISTANBUL - Seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya dekat sekumpulan anggota polis yang mengawasi Dataran Taksim di sini menyebabkan 32 orang cedera, kata beberapa pegawai semalam.
Dalam kejadian itu, 10 daripada 32 yang cedera adalah anggota polis.

Ketua Polis Istanbul, Huseyin Capkin berkata, pada mulanya pengebom berani mati itu cuba memasuki ke sebuah kawasan tempat meletakkan van polis.

Bagaimanapun, katanya, pengebom itu gagal memasuki kawasan itu.

Jelasnya, pengebom itu kemudiannya meletupkan diri di luar sebuah van.

"Insiden itu masih dalam siasatan. Ia merupakan satu tindakan pengebom berani mati. Pengebom berani mati telah meletupkan dirinya yang tubuhnya berkecai," katanya. 

Pasukan polis antirusuhan diletakkan di Dataran Taksim sebagai langkah awal sebelum berlakunya tunjuk perasaan.

"Seorang saksi, Muammer Ulutas yang bekerja di sebuah kafe dekat dataran itu berkata, seorang anggota polis melepaskan empat das tembakan ke arah pengebom berani mati itu selepas dia meletupkan diri.

Menurutnya, pengebom berani mati itu terbaring dan kelihatan seperti berumur dalam lingkungan 20-an. - AP



BAITULMAQDIS: Sebuah kumpulan hak asasi Israel yang tidak berpuas hati dengan layanan tentera rejim itu terhadap penduduk Palestin mengedarkan beberapa keping gambar baru menunjukkan kekejaman yang dilakukan mereka.

Antara gambar itu menunjukkan seorang tentera Israel mengacu raifal pada kepala seorang lelaki Palestin dan satu lagi menunjukkan seorang tentera menyembur cat dengan kata-kata bermaksud ‘Akan kembali’ pada dinding sebuah rumah di Gaza.

Gambar itu yang disiarkan semalam oleh kumpulan yang terdiri daripada veterang tentera Israel yang menamakan diri mereka Breaking the Silence adalah yang terbaru dalam beberapa siri gambar yang disiarkan sejak beberapa bulan lalu, mendedahkan kekejaman tentera Zionis terhadap penduduk Palestin.

Menurut kumpulan berkenaan, ia menyiarkan gambar itu dalam laman Facebook mereka untuk menyangkal dakwaan tentera Israel kononnya laporan mengenai kekejaman askar mereka sengaja diada-adakan.

“Kami akan terus menyiarkan gambar untuk membuktikan kekejaman ini adalah perkara biasa, inilah tingkah laku sebenar tentera Israel dan inilah harga penjajahan,” kata anggota kumpulan, Yehuda Shaul.

Tentera Israel berkata, ia kesal kerana kumpulan itu menyiarkan gambar berkenaan dan tidak menyerahkannya kepada mereka untuk disiasat.

Shaul berkata, kumpulan itu menerima gambar berkenaan dua minggu lalu dan diberitahu ia dirakam ketika Israel menyerang Gaza hampir dua tahun lalu. - Agensi


 

HOLMSIDE, Durham - Seorang pemilik rumah teres dua bilik tidur berharga £86,000 (RM418,975) di Britain, Paul Rooney terkejut apabila sebuah agensi penilaian hartanah tempatan menyatakan harga pasaran rumah itu cuma £1 (RM4.78) menyebabkan dia tidak layak memperoleh pinjaman bank, lapor sebuah akhbar semalam.

Rooney, 42, menghabiskan £10,000 ($8,703) membuat pengubahsuaian termasuk di dapur kediaman selepas dia membeli rumah itu pada 2007 dan berharap untuk menjualnya pada harga yang lebih tinggi.

Namun apabila dia memohon pinjaman perumahan, ahli perniagaan itu terkejut apabila diberitahu oleh beberapa pegawai sebuah agensi penilaian hartanah bahawa nila hartanahnya cuma £1.

Sebelum ini nilai pasaran rumah berkenaan adalah £120,000 (RM584,309) manakala kediaman yang sama dianggarkan berharga £130,000 (RM632,936) selepas kerja pengubahsuaian selesai dilakukan.

Laporan penilaian terbaru itu membayangkan pasaran hartanah Britain yang terjejas teruk ekoran krisis ekonomi global yang melanda dunia pada tahun lalu di negara tersebut. Namun, Rooney yang membayar pinjaman sebanyak £550 (RM2,694) sebulan bimbang dia perlu menjual lebih banyak hartanah pada harga lebih rendah jika pihak bank enggan memberikan pinjaman. - Agensi


LONDON - Amerika Syarikat (AS) semalam semakin tertekan ekoran desakan supaya menyiasat dakwaan mengenai dokumen Perang Iraq yang dibocorkan oleh laman WikiLeaks.

Dokumen itu mendedahkan perbuatan tentera AS selepas Iraq diceroboh atas arahan Presiden AS ketika itu, George W. Bush dan disertai oleh Britain pada 2003.

Alasan serangan itu adalah untuk menggulingkan Saddam Hussein yang menjadi pemimpin Iraq pada masa itu yang dikatakan menyimpan sejumlah senjata pemusnah besar-besaran.

Fail yang dibocorkan pada Jumaat lalu itu mendedahkan maklumat penderaan, pembunuhan orang awam dan pengawal-pengawal Iraq memukul tahanan.

Dalam maklumat itu, terdapat sejumlah wanita yang dibunuh di pusat pemeriksaan tentera AS di Iraq.
Berhubung peranan Iran di Iraq, fail itu mendedahkan Teheran didakwa menggunakan militia untuk membunuh dan menculik askar-askar AS.

Sebuah pertubuhan pemantau kemanusiaan, Human Right Watch menyatakan pemerintah Iraq sepatutnya menyiasat laporan penderaan terhadap tahanan itu.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Britain, Nick Clegg menganggap dakwaan itu terlalu serius dan menyatakan orang ramai mahu mendapatkan jawapan terhadap apa yang mereka telah dengar mengenai maklumat tersebut.

"Saya menganggap pentadbiran AS akan menyediakan jawapannya sendiri. Adalah bukan bagi kami untuk memberitahu anda (pemerintah AS) cara untuk melakukannya (memberi jawapan)," kata Clegg.

Jurucakap Human Right Watch, Malcolm Smart berkata, kebocoran maklumat itu mencetuskan kebimbangan bahawa pihak berkuasa AS melakukan satu perlanggaran serius undang-undang antarabangsa apabila ia menyerahkan ribuan tahanan kepada pihak berkuasa keselamatan Iraq yang mendera dan menyeksa tahanan dalam skala mengejutkan. - AFP 


 

JERUSALEM 21 Okt. - Ibu bapa kepada seorang aktivis warga Amerika Syarikat (AS), Rachel Corrie yang terbunuh akibat digilis jentolak tentera Israel ketika mengadakan demonstrasi di Genting Gaza tujuh tahun lalu buat pertama kalinya berpeluang berhadapan dengan 'pembunuh' anaknya itu ketika pemandu jentolak tersebut memberi keterangan di mahkamah.

Tetapi perkenalan mereka di dalam bilik mahkamah Israel itu berlaku secara tidak langsung. Pemandu jentolak yang tidak dikenali itu berada di sebalik satu sekatan yang diperbuat daripada papan dan plastik, namun suaranya dapat didengar melalui pembesar suara di bilik mahkamah itu.

Ibu bapa Rachel Corrie duduk pada jarak kira-kira lima meter daripada lelaki berkenaan yang memberi keterangan secara terbuka buat pertama kalinya semalam dalam satu saman sivil yang dikemukakan terhadap kerajaan Israel.

Rachel Corrie terbunuh ketika membina benteng manusia semasa cuba menghalang sebuah jentolak tentera rejim Zionis Israel daripada merobohkan sebuah rumah rakyat Palestin di Gaza pada 2003.

Pemandu jentolak berkenaan tidak didakwa atau dibicarakan. - AP


LONDON - Seorang pemancing, Jeremy Wade berumur 52 tahun menangkap seekor ikan mirip piranha sepanjang 1.52 meter dan berat 45.39 kilogram di Sungai Congo, Afrika, lapor sebuah akhbar semalam.

Ikan itu mempunyai 32 batang gigi yang saiznya sama dengan ikan jerung putih. Ia ditangkap dengan joran 90.7 kilogram dan menggunakan umpan seekor ikan air tawar, baru-baru ini.

Ikan itu merupakan spesies ikan harimau Afrika yang terkenal kerana menyerang manusia dan buaya.
Pemancing itu yang merupakan hos program River Monsters di stesen televisyen ITV berkata, dia mengambil masa lapan hari sebelum berjaya menangkap ikan itu.

"Ia merupakan seekor ikan yang amat berbahaya untuk dikendalikan. Jika anda tidak berhati-hati, ikan itu dengan mudah akan memutuskan jari anda," katanya. - Agensi


Tarikh lahir ajaib

Posted by BioVCO | 4:07 PM | | 0 comments »

DETROIT - Dalam sebuah keluarga yang besar, agak sukar untuk seseorang ibu mengingati hari lahir setiap anggota keluarganya, lapor sebuah akhbar semalam.

Namun, bagi Barbara Soper, 36 dan suaminya Chad Soper , 33, di negeri Michigan, Amerika Syarikat (AS), tugas itu mudah berbanding kebanyakan keluarga lain.

Masakan tidak, anak bongsu mereka, Cearra lahir pada 10/10/10 manakala tarikh lahir abangnya, Cameron jatuh pada 09/09/09 diikuti oleh kakaknya, Chloe yang dilahirkan pada 08/08/08.

"Chloe adalah nombor bertuah lapan, Cameron nombor bertuah sembilan dan Cearra pula nombor bertuah sepuluh," kata Barbara mengenai tarikh lahir mereka.

Menurutnya, dia dan suaminya tidak merancang kelahiran anak-anak mereka manakala seorang profesor di Universiti California, Philip Stark berkata, kebarangkalian perkara itu berlaku adalah 1 dalam 2,500 kelahiran. - Agensi