Custom Search

ANKARA 23 Feb. - Suatu ketika dahulu golongan elit tentera Turki yang dikenali sebagai 'pashas' yang dihormati sejak zaman Khalifah Uthmaniyyah, tidak boleh disentuh dan sejak berdekad lamanya mereka yang terdiri daripada pegawai kanan yang mempertahankan tradisi sekular negara ini memainkan peranan dalam membuat keputusan.

Namun semalam, keseimbangan kuasa di negara calon Kesatuan Eropah (EU) ini mengalami perubahan apabila polis Turki menahan 52 komander tentera atas dakwaan merancang meletupkan sebuah masjid dalam cubaan mencetuskan rampasan kuasa dan menggulingkan kerajaan berteraskan Islam.

Penahanan itu menunjukkan kerajaan yang dilantik rakyat cuba mengatasi pihak tentera yang mempunyai sejarah menggulingkan empat kerajaan sejak 1960 dan berpengaruh sejak Mustafa Kemal Ataturk menubuhkan republik sekular selepas menumbangkan Empayar Uthmaniyyah.

Sokongan pengundi dan EU membolehkan Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan mengekang kuasa tentera dan mengorak langkah untuk mengawal jeneral-jeneral.

Polis dalam operasi serentak di lapan bandar menahan 21 orang jeneral dan laksamana, termasuk bekas timbalan ketua tentera, Jeneral Ergin Saygun; bekas ketua Tentera Udara, Jeneral Ibrahim Firtina dan Ketua Tentera Laut, Laksamana Ozden Ornek. Pegawai lain yang ditahan kebanyakannya berpangkat kolonel. - AP

0 comments