Custom Search

BAITULMAQDIS: Sebuah kumpulan hak asasi Israel yang tidak berpuas hati dengan layanan tentera rejim itu terhadap penduduk Palestin mengedarkan beberapa keping gambar baru menunjukkan kekejaman yang dilakukan mereka.

Antara gambar itu menunjukkan seorang tentera Israel mengacu raifal pada kepala seorang lelaki Palestin dan satu lagi menunjukkan seorang tentera menyembur cat dengan kata-kata bermaksud ‘Akan kembali’ pada dinding sebuah rumah di Gaza.

Gambar itu yang disiarkan semalam oleh kumpulan yang terdiri daripada veterang tentera Israel yang menamakan diri mereka Breaking the Silence adalah yang terbaru dalam beberapa siri gambar yang disiarkan sejak beberapa bulan lalu, mendedahkan kekejaman tentera Zionis terhadap penduduk Palestin.

Menurut kumpulan berkenaan, ia menyiarkan gambar itu dalam laman Facebook mereka untuk menyangkal dakwaan tentera Israel kononnya laporan mengenai kekejaman askar mereka sengaja diada-adakan.

“Kami akan terus menyiarkan gambar untuk membuktikan kekejaman ini adalah perkara biasa, inilah tingkah laku sebenar tentera Israel dan inilah harga penjajahan,” kata anggota kumpulan, Yehuda Shaul.

Tentera Israel berkata, ia kesal kerana kumpulan itu menyiarkan gambar berkenaan dan tidak menyerahkannya kepada mereka untuk disiasat.

Shaul berkata, kumpulan itu menerima gambar berkenaan dua minggu lalu dan diberitahu ia dirakam ketika Israel menyerang Gaza hampir dua tahun lalu. - Agensi


 

0 comments