Custom Search

JERUSALEM 21 Okt. - Ibu bapa kepada seorang aktivis warga Amerika Syarikat (AS), Rachel Corrie yang terbunuh akibat digilis jentolak tentera Israel ketika mengadakan demonstrasi di Genting Gaza tujuh tahun lalu buat pertama kalinya berpeluang berhadapan dengan 'pembunuh' anaknya itu ketika pemandu jentolak tersebut memberi keterangan di mahkamah.

Tetapi perkenalan mereka di dalam bilik mahkamah Israel itu berlaku secara tidak langsung. Pemandu jentolak yang tidak dikenali itu berada di sebalik satu sekatan yang diperbuat daripada papan dan plastik, namun suaranya dapat didengar melalui pembesar suara di bilik mahkamah itu.

Ibu bapa Rachel Corrie duduk pada jarak kira-kira lima meter daripada lelaki berkenaan yang memberi keterangan secara terbuka buat pertama kalinya semalam dalam satu saman sivil yang dikemukakan terhadap kerajaan Israel.

Rachel Corrie terbunuh ketika membina benteng manusia semasa cuba menghalang sebuah jentolak tentera rejim Zionis Israel daripada merobohkan sebuah rumah rakyat Palestin di Gaza pada 2003.

Pemandu jentolak berkenaan tidak didakwa atau dibicarakan. - AP


0 comments