Custom Search

TEHRAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, memecat Menteri Luarnya, Manoucher Mottaki (atas), dan menggantikannya dengan Ali Akbar Salehi buat sementara, lapor agensi berita negara itu, semalam.

“Saya mengucapkan terima kasih atas kerja dan khidmat kamu ketika bertugas di Kementerian Luar,” kata Ahmadinejad yang dilaporkan berkata tanpa memberitahu sebab mengambil tindakan itu.

Tetapi, sejak setahun lalu, Mottaki dilaporkan membantah keputusan Ahmadinejad melantik sendiri wakil luarnya ke Asia Barat, Afghanistan dan rantau Kaspia kerana dianggap memalukan kementeriannya.

Mottaki dikatakan meminta bantuan pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang menyokongnya dan memaksa Ahmadinejad mengubah pendirian.

Media Iran juga melaporkan ada ahli perundangan yang mendesak Mottaki dipecat sejak itu atas alasan beliau gagal mempertahankan Iran di peringkat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam isu nuklear.

Mottaki dilantik sebagai Menteri Luar pada Ogos 2005 dan ketika ini melakukan lawatan rasmi di Senegal.

Salehi adalah antara 12 naib presiden Iran dan mengetuai pertubuhan tenaga atom negaranya. Mengikut undang-undang, presiden Iran perlu mengemukakan calon menteri kepada Parlimen untuk kelulusan.

Pemecatan Mottaki berlaku beberapa hari selepas Iran mengadakan rundingan di Geneva dengan kuasa dunia mengenai program nuklearnya iaitu pada 6 dan 7 Disember lalu. – AP/AFP



0 comments