Custom Search

PENINGKATAN permintaan bahan api boleh diperbaharui sejak akhir-akhir ini meletakkan tanda aras lebih tinggi kepada syarikat gergasi automotif bagi mencari sumber baru untuk menggerakkan kenderaan mereka pada masa depan. 

Ini sekali gus mendorong gergasi automotif mengetengahkan konsep dan prototaip terbaik yang mereka rasakan sesuai untuk digunakan pada kenderaan masing-masing. Pelbagai projek perintis dan prototaip dibangunkan sejak hampir dekad dulu bagi menggantikan bahan api fosil seperti solar, biofuel, biodiesel, hidrogen dan tidak terkecuali penggunaan teknologi nano dalam pembinaan bateri kereta elektrik.

Terbaru gergasi automotif Jepun, Honda memperkenalkan inovasi penggunaan bahan api hidrogen untuk kenderaan masa depannya menerusi prototaip stesen hidrogen solar di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Honda, Los Angeles.

Berdasarkan maklumat laman web syarikat itu, unit prototaip ini direka semula pada saiz yang lebih kompak untuk dimuatkan dalam garaj kenderaan pengguna.

Secara asasnya, prototaip ini akan mengestrak gas hidrogen daripada molekul air menerusi proses elektrolisis menggunakan tenaga elektrik yang dijana daripada tenaga solar pada waktu siang atau bekalan tenaga pencawang elektrik pada waktu malam.
Prototaip berkonsepkan di rumah ini direka menepati keupayaan menghasilkan kuantiti hidrogen sebanyak 0.5 kilogram untuk tempoh lapan jam semalaman yang secara teorinya sudah mencukupi bagi kegunaan urusan harian pengguna.

Sistem prototaip yang dibina turut disesuaikan dengan sistem tenaga pencawang pintar supaya ia boleh beroperasi pada waktu malam ketika pengisian semula bahan api terbabit, tanpa memerlukan tangki simpanan hidrogen.

Sebagai tambah nilai kepada penjimatan kos pengguna, ketika waktu siang yang juga waktu puncak cahaya matahari, prototaip ini mampu menyalurkan tenaga elektrik yang dihasilkannya menerusi panel solar terus ke pencawang elektrik.

Prototaip yang dibina di pusat penyelidikan itu, masih menggunakan 48 panel solar yang mampu menjana enam kiloWatt (kW) tenaga solar seperti prototaip perintisnya yang dibangunkan syarikat Honda sebelum ini.

Honda turut mereka bentuk stesen hidrogen solar yang khusus diletakkan di tempat awam sebagai kemudahan kepada pelanggannya untuk mengisi semula gas hidrogen dalam kenderaan mereka ketika berada di luar rumah.

Kemudahan stesen di tempat awam itu menawarkan pengisian bahan api hidrogen yang pantas dalam tempoh lima minit untuk bekalan perjalanan jauh.

Ia sebagai tambahan kepada kemudahan pengisian sendiri pada waktu malam yang lebih perlahan menggunakan bekalan tenaga daripada pencawang elektrik.


0 comments