ROM - Seorang pembunuh upahan Mafia yang kejam dan menggelarkan dirinya sebagai Scarface akhirnya ditangkap pasukan polis Itali kelmarin selepas dia berjaya dijejaki menerusi laman perkongsian sosial Facebook, lapor sebuah akhbar semalam.
Pembunuh itu, Pasquale Manfredi yang berusia 33 tahun berada dalam senarai 100 orang paling dikehendaki di Itali.
Dia diburu selama setahun untuk membantu siasatan atas dua insiden pembunuhan dua samseng.
Bapa dua orang anak itu didakwa menjadi dalang pembunuhan dua samseng yang menjadi pesaingnya, Carmine Arena yang dibunuh pada Oktober 2004 dan Pasquale Tripaldi pada 2005.
Polis mendapat maklumat bahawa Manfredi merupakan peminat Facebook.
Menggunakan peralatan pemantauan elektronik yang sofistikated, pihak polis berjaya mengesan Manfredi di sebuah pangsapuri di Isola Capo Rizzuto berhampiran Crotone di selatan Itali.
Manfredi menggunakan nama Georgie dan gambar poster filem Scarface di laman Facebook.
Polis percaya dia menerima arahan berkod melalui laman tersebut selain berhubung dengan beberapa gengster lain.
Lebih 200 rakan samseng itu di Facebook kini diteliti polis bagi mengetahui sama ada mereka terlibat dengan aktiviti mafia.
0 comments
Post a Comment