Custom Search

Taliban disyaki bedil lapangan terbang

HERAT: Militan Taliban disyaki membedil roket ke lapangan terbang terbesar di barat Afghanistan semalam, mengakibatkan gangguan sementara kepada penerbangan.

Polis tempatan berkata pemberontak membedil tiga roket di luar sebuah kawasan perkampungan di daerah Guzara, wilayah Herat, dan dua daripada roket berkenaan terhempas di landasan udara Herat.

"Pihak musuh membedil tiga roket di lapangan terbang tapi tiada kecederaan dilaporkan, ia hanya merosakkan landasan," kata jurucakap polis wilayah, Noor Khan Nikzad.

Lapangan terbang berkenaan adalah sebahagian daripada pangkalan tentera bagi Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa yang diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (ISAF).

Selepas serangan itu, polis berkejar ke tapak pelancaran pihak militan yang menggunakan traktor sebagai pelancar mudah alih dan melarikan diri.

Herat, kurang sejam perjalanan dengan kereta dari sempadan dengan Iran, adalah bandar kedua paling ramai penduduk di Afghanistan.  AFP



 
 

0 comments