Custom Search





Penyerang bunuh diri letup bom di Pakistan

KARACHI: Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dan lebih 60 cedera, apabila seorang penyerang bunuh diri meletupkan bom, ketika penduduk Islam Syiah memulakan upacara memperingati hari Asyura di bandar raya terbesar di Pakistan ini semalam.

Menteri Dalam Negeri, Rehman Malik, berkata serangan dilakukan penyerang bunuh diri yang meletupkan bom pada permulaan upacara itu.



Rakaman oleh stesen televisyen tempatan menunjukkan kesan letupan dengan asap kelihatan berkepul ke udara. Ambulans turut dilihat berada di kawasan itu.

“Setakat ini, 20 kematian sudah dilaporkan di Hospital Civil. Kira-kira 60 orang lagi cedera, kebanyakannya parah,” kata Menteri Kesihatan Wilayah, Sagheer Ahmad yang menambah angka kematian dijangka meningkat.

Pegawai polis, Raja Umer Khatab, berkata keganasan berlaku selepas pengeboman itu, apabila penganut Syiah yang marah melepaskan tembakan ke udara. Sebilangan yang lain turut melempar batu ke arah polis dan pasukan paramilitari.

Televisyen turut menyiarkan rakaman menunjukkan kereta polis dan ambulans yang rosak dan pecah, manakala bumbung kereta turut tertanggal.

Datuk Bandar Karachi, Mustafa Kamal menggesa semua penduduk agar bertenang.

“Saya merayu kepada semua orang, saudara mara dan sesiapa saja agar bertenang. Saya dimaklumkan berlaku pertempuran dengan polis dan doktor. Tolong jangan lakukan kerana inilah matlamat pengganas. Mereka mahu melihat bandar raya ini musnah,” katanya.

Kawalan keselamatan di seluruh Pakistan dipertingkatkan pada hari Asyura yang juga antara hari paling suci bagi penganut Syiah bagi memperingati kematian cucu Nabi Muhammad, Saidina Hussein. 


Sementara itu, angka kematian akibat serangan bom bunuh diri di tempat perhimpunan Islam Syiah di wilayah Kashmir, Pakistan meningkat kepada lapan orang semalam. - AP/AFP



 

0 comments