Custom Search

Blair kena siasat

Posted by Info Kesihatan | 3:45 PM | | 0 comments »

Blair kena siasat

Britain kenal pasti kewajaran lancar perang Iraq

LONDON: Satu siasatan bebas terhadap peranan Britain dalam perang di Iraq memulakan perbicaraan semalam yang kemuncak menantikan keterangan bekas Perdana Menteri, Tony Blair.

Blair membuat keputusan menyokong Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush dengan menghantar 45,000 askar Britain ke Iraq meskipun tanpa kelulusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ditentang kuat pembangkang di negaranya dan Eropah.

Pengulas berpendapat, langkah Blair dalam isu itu menyebabkan beliau tidak terpilih sebagai Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) yang diberi kepada Perdana Menteri Belgium, Herman Van Rompuy.

Pemimpin tentera, diplomat, menteri dan pegawai kanan akan dipanggil di hadapan jawatankuasa lima ahli untuk menilai perang Iraq yang dianggap kontroversi.

Pengerusi jawatankuasa siasatan, bekas kakitangan awam, John Chilcot yakin menghasilkan proses membuat keputusan penuh yang membabitkan Britain terhadap konflik berkenaan.
"Penekanan kami bukan sekadar melakukan kerja menyeluruh tetapi sesuatu yang jujur dan akan diterima umum," katanya kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

"Lima ahli jawatankuasa sekarang adalah benar-benar bebas, mengambil kira aspek perspektif berbeza dan pe ngalaman masing-masing," katanya.

John Scarlett, bekas ketua agensi risikan asing MI6 dan bekas duta ke Amerika Syarikat, Christopher Meyer dan wakil ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jeremy Greenstock adalah antara yang terawal memberi keterangan.

Scarlett adalah bekas pengerusi jawatankuasa risikan utama Britain ketika kerajaan Blair mengeluarkan laporan Iraq mempunyai senjata pemusnah besar (WMD) yang membawa kepada serangan pada Mac 2003.

Senjata terbabit, bagaimanapun, tidak pernah ditemui. Kenapa menteri memikirkan kewujudan senjata itu dan di mana mereka mendapat bukti akan diteliti oleh jawatankuasa.

Bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan dan bekas penyiasat senjata badan dunia itu, Hans Blix juga dilaporkan tersenarai sebagai saksi.

Siasatan itu membabitkan isu Iraq dari Julai 2001 hingga Julai 2009. - AFP




0 comments