Custom Search

Bekas perokok menang saman RM1b


Philip Morris anggap ganti rugi melampau

LOS ANGELES: Mahkamah di Florida mengarahkan syarikat rokok, Philip Morris USA membayar ganti rugi AS$300 juta (RM1 bilion) kepada seorang bekas perokok yang kini terpaksa bergerak dengan kerusi roda kerana paru-parunya rosak.

Juri di Mahkamah Daerah Broward kelmarin menilaikan perbelanjaan perubatan lampau dan masa depan ditanggung Cindy Naugle, sebanyak AS$56.6 juta (RM198 juta) perlu dibayar syarikat rokok itu.

Selain itu, Philip Morris juga diarah membayar ganti rugi punitif AS$244 juta (RM854 juta).

Keputusan yang dibuat itu merupakan ganti rugi paling besar pernah diarahkan mahkamah dalam kes membabitkan bekas perokok menyaman syarikat rokok.

Philip Morris akan membuat rayuan terhadap keputusan itu berikutan mereka berpendapat hakim "membuat beberapa kesilapan," kata jurucakapnya, Murray Garnick dalam satu kenyataan.
"Kami percaya ganti rugi punitif yang dikenakan terlalu tinggi dan melanggar perlembagaan dan undang-undang negeri," kata Garnick.

Naugle, 61, mula merokok pada 1968 ketika berusia 20 tahun kerana berpendapat ia membuat beliau kelihatan lebih matang sebelum menghentikan tabiat buruk itu pada 1993.

Naugle memberitahu juri bahawa beliau tidak mungkin menghisap rokok jika syarikat tembakau mendedahkan apa yang mereka ketahui iaitu rokok mengandungi nikotin, sejenis dadah yang menyebabkan ketagihan.

Kes Naugle itu adalah di antara 8,000 kes difailkan terhadap syarikat rokok selepas Mahkamah Agung Florida pada 2006 memutuskan perokok boleh menyaman syarikat rokok. - Reuters




0 comments