Custom Search

SANAA: Seorang askar Yaman yang membawa bahan letupan di sebalik pakaian seragamnya, meletupkan diri di tengah-tengah satu batalion tentera di Sanaa, semalam, menyebabkan 96 anggota terbunuh dan kira-kira 300 cedera.

Serangan berani mati itu adalah yang paling buruk di negara itu sejak presiden baru, Abdrabuh Mansur Hadi berikrar untuk menghapuskan kumpulan al-Qaeda dari wilayah selatan dan timur negara itu.

Anggota pasukan perubatan berkata, mangsa yang cedera dirawat di tujuh hospital di Sanaa. Semua yang terbunuh dan cedera ialah anggota tentera.

Sehingga ini, belum ada pihak mengaku bertanggung jawab terhadap letupan kuat itu yang menurut saksi, boleh didengar di seluruh ibu negara Yaman itu sehingga mencetuskan panik di kalangan penduduk.

Pegawai kanan polis, Kolonel Abdul Hamid Bajjash yang bertanggungjawab terhadap keselamatan di kawasan berkenaan berkata, serangan itu mempunyai tanda-tanda ia dilakukan oleh al-Qaeda.

Pengebom yang tidak dikenali itu meletupkan bahan letupan berkenaan ketika anggota dari pasukan keselamatan kerajaan pusat yang diketuai anak saudara bekas Presiden Ali Abdullah Saleh mengadakan latihan untuk perbarisan tentera bagi menyambut ulang tahun ke-22 penyatuan Yaman Selatan dan Utara.

Menteri Pertahanan, Mohammed Nasser Ahmed hadir pada masa kejadian tetapi terselamat, kata pegawai.

Menurut saksi, cebisan mayat mangsa berselerak di kawasan letupan di Dataran Sabeen, tempat kerajaan sering mengadakan perbarisan tentera secara besar-besaran. - AFP

>>> RAWATAN & SIHAT Tanpa UBAT <<<
Yahoo.com     Google.com     MSN.com

0 comments