Custom Search

BEIRUT: Tanpa mempedulikan kehadiran pemantau Liga Arab, pasukan keselamatan Syria terus mengganas dan dilaporkan membunuh sekurang-kurangnya 12 penunjuk perasaan, semalam.

Ketika ratusan ribu orang awam turun ke jalan raya bagi menunjukkan perpaduan mereka menghadapi tekanan Presiden Bashar al-Assad, anggota keselamatan membalasnya dengan melepaskan gas pemedih mata.

Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, lima penunjuk perasaan ditembak mati di Hama, manakala lima lagi di Deraa.

Jurucakap pertubuhan itu berkata, berpuluh yang lain cedera apabila dikasari anggota keselamatan.

Pertempuran bersenjata juga menyebabkan lima anggota keselamatan terbunuh di bandar Homs. Bashar, 46, menandatangani persetujuan dengan Liga Arab untuk menarik balik pasukan keselamatan dan senjata berat dari bandar yang menentang kerajaannya sejak Mac lalu. Bagaimanapun, kehadiran pemantau Liga Arab di beberapa lokasi panas di Syria sejak Isnin lalu memberi semangat kepada penunjuk perasaan sekali lagi.

Penentang kerajaan mahu menunjukkan kekuatan mereka di depan pemantau turut melontar batu ke arah pasukan keselamatan di Douma.

Seorang daripada penunjuk perasaan berkata, mereka mahu membuktikan kewujudan sebenar gerakan antikerajaan di Syria.

“Sama ada berlaku pertumpahan darah atau tidak, itu tak penting,” katanya. Beberapa penyokong pembangkang berkata, orang awam cuba pergi ke kawasan lapang di Idlib untuk berkumpul beramai-ramai di situ.

“Bagaimanapun, kami gagal kerana tentera melepaskan gas pemedih mata dan menembak dengan peluru hidup,” katanya. Mereka berpendapat, kehadiran pemantau itu akan menghalang Syria menggunakan kekerasan. “Nampaknya andaian itu salah,” katanya. - Reuters




0 comments