Custom Search

KAHERAH 7 Feb. - Presiden Mesir, Hosni Mubarak hari ini terus mengalami tekanan untuk meletakkan jawatan dengan segera setelah kem pembangkang menyifatkan konsesi yang diberikan oleh kerajaan dalam rundingan bersejarah, semalam sebagai tidak memadai.

Ketika pemberontakan itu memasuki hari ke-14, hari ini, Dataran Tahrir di tengah Kaherah masih dipenuhi penunjuk perasaan antikerajaan yang tetap berpendirian bahawa permulaan dialog dengan kumpulan-kumpulan pembangkang, semalam tidak akan menjejaskan kempen mereka untuk menjatuhkan Mubarak.

Naib Presiden, Omar Suleiman semalam mengadakan rundingan dengan beberapa kumpulan pembangkang termasuk Ikhwan Muslimin, tetapi selain kerajaan membuat beberapa konsesi, tiada kemajuan besar dicapai bagi menamatkan krisis.

Suleiman menolak satu tuntutan utama pembangkang supaya beliau mengambil alih kuasa Mubarak dan memerintah negara semasa tempoh peralihan.

Tidak semua gerakan pembangkang yang terlibat dalam pemberontakan untuk menamatkan pemerintahan Mubarak hadir pada rundingan, semalam.

Tokoh pembangkang yang juga bekas ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Mohamed ElBaradei tidak dijemput.

Pemimpin nombor dua Ikhwan Muslimin, Mahmud Ezzat berkata, kumpulannya tidak menarik diri daripada rundingan kerana merasakan ada kemajuan yang dicapai tetapi beliau memberi amaran protes jalanan akan diteruskan.

Beliau berpendapat, dengan mengadakan dialog dengan pembangkang, kerajaan secara tersirat 'mengakui protes itu merupakan revolusi rakyat dan tuntutannya adalah sah dan satu tuntutan kami ialah Presiden mesti berundur'.

Ketika ditanya sama ada Mubarak akan meletakkan jawatan, Ezzat berkata, semuanya bergantung kepada tekanan rakyat dan pihaknya menyokong tekanan rakyat diteruskan.

ElBaradei yang kembali ke Mesir sejurus selepas protes anti-Mubarak bermula berkata, rundingan yang baru dilancarkan itu tidak ada kredibiliti kerana diatur oleh Mubarak dan tentera.

"Prosesnya tidak telus, tiada siapa mengetahui siapa yang bercakap dengan siapa pada peringkat ini," kata beliau kepada stesen NBC, sambil menyebut tentang 'tiadanya keyakinan' antara penunjuk perasaan dengan kerajaan. - AFP




0 comments