Custom Search

Lori tangki NATO diserang lagi

Posted by BioVCO | 4:39 PM | 0 comments »

QUETTA, Pakistan 9 Okt. - Kumpulan lelaki bersenjata membakar sekurang-kurangnya 29 lori tangki di barat daya Pakistan semalam, serangan keenam dalam tempoh seminggu ketika militan terus mensasarkan serangan di laluan bekalan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke Afghanistan.

Dua pegawai polis cedera dalam serangan di daerah Mitri yang terletak di pedalaman, 180 kilometer dari tenggara Quetta, ibu negeri wilayah Baluchistan yang kaya dengan minyak dan gas yang bersempadan dengan Iran dan Afghanistan.

Taliban sebelum ini melancarkan beberapa siri serangan serupa bagi menuntut bela ke atas gelombang baru serangan pesawat tanpa juruterbang Amerika Syarikat (AS) ke atas pemberontak di kawasan sempadan pergunungan barat laut Pakistan.

"Kira-kira 30 militan menyerang lori tangki yang diletakkan di luar sebuah hotel tepi jalan dan melepaskan tembakan awal pagi ini, menyebabkan dua pegawai polis tempatan cedera," kata pegawai kanan pentadbiran, Abdul Mateen.

Katanya, kebakaran memusnahkan 29 lori tangki dan pasukan bomba bandar berhampiran, Sibbi dihubungi bagi mengawal kebakaran.

"Kami akan dapat mentaksir jumlah kerugian hanya selepas kebakaran dapat dikawal," kata Abdul.

Abdul berkata, lori-lori tangki yang sedang dalam perjalanan ke Afghanistan itu, singgah semalaman di Mitri. - AFP



0 comments