BANTING: Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata, suspek utama siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya turut mempunyai kaitan dengan kes orang hilang, pembunuhan dan jenayah komersil di daerah Kuala Langat.
Khalid berkata, peguam tersebut juga didapati mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan seorang wanita di Banting tahun lalu.
Laporan akhbar menyatakan bahawa wanita itu T Selvi, 44 isteri kepada seorang pemilik bengkel kenderaaan dipercayai dibunuh kerana perselisihan faham mengenai urus niaga pinjaman wang yang melibatkan peguam itu.
"Walaupun suami mangsa ada membuat pelbagai ulasan mengenai kes itu, saya tidak bercadang beri apa-apa komen kerana kes itu sedang disiasat," kata Khalid.
Beliau berkata, polis mendapat petunjuk-petunjuk baru mengenai kes pembunuhan wanita itu selepas siasatan dijalankan ke atas pembunuhan Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohamad, 38.
"Kes ini tidak pernah ditutup dan kita akan lakukan risikan bagi mendapatkan lagi maklumat," kata Khalid.
Beliau berkata, pihaknya ada menerima tujuh laporan jenayah komersial terhadap peguam itu antaranya kes pecah amanah dan penipuan jual beli tanah sejak tahun 2005 yang membabitkan kerugian RM7.1 juta. Ditanya sama ada peguam itu "membeli" polis-polis di Kuala Langat, katanya jika sesiapa mempunyai maklumat sedemikian mereka boleh melaporkan terus kepada beliau, Bukit Aman mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Kita tidak akan lindungi orang kita yang menyeleweng," tegas Khalid.-Bernama
0 comments
Post a Comment