Custom Search

PESHAWAR: Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh seorang daripadanya kanak-kanak, manakala 26 lagi cedera dalam serangan bunuh diri ketiga untuk tempoh 24 jam di Kohat, timur laut Pakistan yang menjadi tempat perlindungan beribu-ribu penduduk Pakistan yang melarikan diri daripada peperangan.

Polis berkata, sasaran serangan terbaru adalah sebuah balai polis, malangnya penyerang meletupkan bom lebih awal, selepas seorang pegawai cuba menghalangnya. Kejadian berlaku beberapa jam selepas 41 orang terbunuh dalam dua serangan bunuh diri di negara itu.

“Penyerang meletupkan bom di dalam kereta di belakang sebuah balai polis,” kata Ketua Polis Dilawar, Khan Bangash.
Beliau berkata, semua yang terbunuh adalah orang awam, manakala enam anggota polis cedera dalam kejadian itu.

Pegawai kanan polis, Abdullah Jan, berkata 26 orang cedera dalam letupan itu dan ia adalah reaksi balas kepada operasi tentera di kawasan puak.

Seorang pekerja sekolah, Saeed Akbar, berkata beliau berlari masuk ke kawasan sekolah selepas melihat pemandu kenderaan berkenaan tidak berhenti, walaupun ditahan polis.

“Saya berlari masuk dan tiba-tiba satu letupan kuat kedengaran. Dinding sekolah runtuh dan menimpa saya tetapi saya terselamat,” katanya ketika ditemui wartawan di hospital untuk menerima rawatan akibat cedera ringan.

Seorang penjaga kedai, Fida Hussain, 30, yang cedera selepas terkena serpihan bom berkata, beliau melihat kepulan asap berwarna biri selepas letupan kuat.

“Tiba-tiba saya berasa kepala saya terkena sesuatu kemudian saya rebah,” katanya.

Seorang lagi pegawai kanan polis berkata, kira-kira 200 kilogram bahan letupan digunakan dalam serangan semalam yang turut membentuk kawah sedalam dua meter. – AFP



0 comments