Custom Search

LONDON - Seorang diplomat Israel merangkap ketua operasi agensi perisikan Mossad di sini diarahkan meninggalkan Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Arahan itu dibuat setelah kerajaan Britain mendapati Mossad memalsukan sejumlah pasport Britain dalam komplot membunuh seorang pengasas sayap ketenteraan Hamas.

"Penyalahgunaan pasport Britain tidak boleh dibiarkan. Ia membahayakan keselamatan rakyat Britain dan kedaulatan negara," kata Setiausaha Luar Britain, David Miliband. 

Beliau mengesahkan pengusiran itu disasarkan kepada lelaki berkenaan yang bertugas sebagai diplomat kanan Israel tetapi sebenarnya dia ialah ketua operasi Mossad di Britain 

Miliband turut menuntut surat jaminan rasmi daripada rakan sejawatannya di Israel, Avigdor Lieberman bahawa penyalahgunaan pasport Britain oleh perisik Israel tidak akan berulang.
Pada Isnin lepas, Duta Israel ke Britain, Ron Prosor dipanggil ke Pejabat Luar Britain dan diberitahu supaya menghantar pulang diplomat tersebut.

Ketua operasi Mossad itu diberikan tempoh dua minggu untuk meninggalkan Britain.

Kerajaan Britain marah kerana Israel yang dianggap sebuah negara sahabat menyalahgunakan persahabatan tersebut dalam kes berkenaan.

"Mossad boleh menggunakan pasport negara lain," kata seorang pegawai keselamatan.

Pada 20 Januari lepas, skuad pembunuh Mossad memasuki Dubai dengan menggunakan sekurang-kurangnya 26 pasport palsu dari Eropah dan Australia bagi membunuh ketua sayap bersenjata Hamas, Mahmoud al-Mabhouh. - Agensi

0 comments