Custom Search

Showing posts with label Kes bunuh Sosilawati: Nyaris jadi mangsa kelima. Show all posts
Showing posts with label Kes bunuh Sosilawati: Nyaris jadi mangsa kelima. Show all posts

BANTING: Satu gelang emas dipercayai milik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, menjadi bukti terbaru yang ditemui dalam tali air berdekatan kunci air Sungai Lang di sini, petang semalam.

Sepasukan polis turut membawa suspek utama yang juga seorang peguam ke lokasi terbabit difahamkan untuk mencari telefon bimbit milik mangsa. Bagaimanapun, selepas hampir dua jam menyelam, telefon itu gagal ditemui sebaliknya penyelam menemui satu gelang emas.

Usaha mengesan bukti baru itu dihentikan kira-kira jam 5.30 petang berikutan hujan lebat.

Sebelum itu, pada kira-kira jam 2.25 petang, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu dengan tangan bergari diiringi anggota polis terlebih dulu memasuki pejabat guaman miliknya yang terletak berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini.

Ini kali kedua polis memasuki premis terbabit selepas kali pertama pada Selasa lalu. Turut memasuki premis terbabit ialah dua wanita berusia 20-an dipercayai pekerja suspek. Ketika meninggalkan premis itu, seorang anggota polis dilihat membawa beberapa dokumen.

Sosilawati bersama tiga lagi rakannya dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu sebelum ditemui dibunuh di Ladang Gadong, di sini.

Sebelum ini, polis menjalankan operasi mencari bahan bukti di Sungai Panchau dan menemui serpihan tulang manusia dipercayai milik keempat-empat mangsa.

Selain itu, beberapa senjata seperti pisau, batang besi dan dua jam tangan dipercayai milik mangsa ditemui di Sungai Kanchung Laut, di sini. Polis turut menemui enam zink di dasar Sungai Gelanggang Buaya di Kampung Kelanang, di sini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin gagal dihubungi bagi mengesahkan penemuan bukti baru itu.



KUALA LANGAT: Sungai Panchau dekat sini kemungkinan memiliki lebih banyak rahsia mengerikan daripada yang dibayangkan.

Di sebalik air sungai yang keruh itu mengandungi ratusan fragmen tulang manusia, dipercayai dijadikan sebagai ‘kubur berair’ bagi mangsa bunuh.

Difahamkan, polis menjumpai lebih 300 fragmen tulang manusia dari dasar sungai yang terletak hanya antara empat dan lima kilometer daripada ladang berlakunya pembunuhan empat individu.

Menurut seorang pakar yang mengendalikan pembakaran mayat sejak 20 tahun, apabila badan manusia itu dibakar, ia akan meninggalkan kira-kira 20 sehingga 25 fragmen tulang yang dapat dilihat.

Setakat ini, polis sedang menyiasat pembunuhan ngeri jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dan mengesahkan sekurang-kuranya lapan laporan mengenai individu hilang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek utama ke berkenaan.

Selain Sosilawati, tiga individu lain adalah pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu dan seminggu selepas itu cebisan mayat mereka dijumpai dalam Sungai Panchau dan beberapa sungai lain berhampiran Ladang Gadong.

Jumlah fragmen tulang yang banyak menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai mereka yang lain mungkin dibunuh di ladang terbabit sebelum Sosilawati bersama tiga individu.

Sumber yang mempunyai kaitan dalam penyiasatan itu berkata, fragmen tulang dianalisis oleh pasukan khas forensik dan jabatan kimia bagi mengenal pasti latar belakang mereka.

Pasukan polis forensik memulakan pencarian di sungai berkenaan sejak Ahad lalu dan menjumpai dua pisau, beberapa jam tangan dan barangan kemas.

Polis telah melantik dua pasukan khas manakala penyiasat melakukan tugas mereka sepanjang masa di lokasi kejadian.

Polis turut meneliti laporan kehilangan beberapa individu yang tidak diselesaikan sejak beberapa tahun lalu bagi mengenal pasti terdapat kaitan dengan suspek utama yang merupakan adik-beradik peguam.
“Diharapkan, kita dapat menyelesaikan beberapa kes yang dibuka semula dengan petunjuk-petunjuk baru ini,” menurut satu sumber.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, satu pasukan khas kini menyiasat semua laporan kehilangan individu yang mempunyai kaitan dengan suspek.

“Tiada satu pun akan terkecuali dan semua laporan orang hilang akan disiasat,” katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata pada Ahad, terdapat empat kes orang hilang yang disiasat semula berdasarkan laporan polis dibuat oleh keluarga yang mempunyai kaitan dengan adik-beradik peguam.

Satu sumber berkata, antara mereka yang hilang dipercayai ‘dihapuskan’ adalah seorang warga India, seorang wanita tempatan dan dua lelaki.

Difahamkan polis di bahagian pemalsuan wang akan memohon Majlis Peguam supaya aset dua peguam terbabit dibekukan.

Sumber mstar



 

KUALA LUMPUR: “Jika tidak kerana saya sudah berada di kampung kerana mahu menyambut Aidilfitri, mungkin saya juga senasib dengan Datuk Sosilawati dan tiga lagi rakan,” kata seorang rakan kongsi jutawan kosmetik itu dalam pembelian sebidang tanah seluas 30 ekar (12 hektar) di Batu Feringgih, Pulau Pinang pada Mac 2008.

Usahawan yang juga ahli politik bergelar Datuk itu berkata, suspek utama kes pembunuhan itu yang juga seorang peguam menghubunginya pada 9 September lalu dan memintanya datang ke pejabat bagi mendapatkan wang bayaran penjualan tanah berkenaan.

“Suspek minta saya datang tapi pada hari berkenaan saya tiada di Banting kerana berada kampung di Johor untuk menyambut Aidilfitri keesokannya. Ini menyebabkan dia menyuruh saya datang pada 13 September pula,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Katanya, dia membatalkan niat untuk ke pejabat guaman suspek selepas media melaporkan Sosilawati ditemui mati dipercayai dibunuh peguam terbabit yang juga rakan kongsi pembelian tanah berkenaan.

“Saya, Sosilawati dan peguam itu sebelum ini kenalan rapat sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Sebelum itu, katanya, dia menghubungi suspek bertanyakan mengenai Sosilawati yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu, namun peguam terbabit menyatakan tiada apa yang perlu dirisaukan dan dia hanya perlu hadir ke pejabatnya mendapatkan wang keuntungan penjualan tanah berkenaan seperti dijanjikan.

“Dalam perbualan melalui telefon itu, dia juga mengaku sudah dua kali memberi keterangan kepada polis dan memaklumkan tiada apa yang perlu dirisaukan. Beberapa hari kemudian, saya mendapat tahu dia ditahan polis,” katanya.

Menceritakan mengenai urus niaga tanah itu, Datuk berkenaan mendakwa berkata, peguam terbabit memujuknya melabur bagi membeli sebidang tanah seluas 12 hektar di Batu Feringgi milik seorang warga tempatan pada harga RM25 juta dan perlu membayar deposit RM2.5 juta.

“Saya bagaimanapun beritahu tiada wang sebanyak itu. Dia memberi idea supaya saya berkongsi dengannya, Sosilawati dan seorang lagi rakan bagi membayar wang pendahuluan berkenaan,” katanya.

Katanya, dia dan Sosilawati serta seorang lagi rakan bersetuju membeli tanah berkenaan selepas dipujuk suspek kerana dijanjikan tanah berkenaan memberikan pulangan lumayan kepada kami. “Pembelian tanah melalui syarikat Sosilawati itu diuruskan suspek yang mengambil masa enam bulan sebelum berjaya dijual kepada satu syarikat dengan harga RM29 juta,” katanya.

Katanya, semua nampak lancar apabila suspek menunjukkan dokumen perjanjian jual beli dan ketika itu tiada yang meragukan.

“Dia membayar kembali modal RM2.5 juta kepada kami dalam tempoh enam bulan selepas menerima bayaran deposit RM2.9 juta daripada syarikat yang membeli tanah berkenaan. Bagaimanapun, kami gagal memperoleh bayaran keuntungan RM4 juta seperti yang dijanjikan walaupun sudah dua tahun berlalu.

“Dalam tempoh itu, saya sering menghubunginya bertanyakan perkara berkenaan dan kadangkala marah dengan jawapan suspek kononnya ada masalah dalam pertukaran hak milik,” katanya.

Selepas dua tahun, dia dihubungi suspek menyatakan wang keuntungan berkenaan sudah diperoleh dan perlu hadir ke pejabatnya bagi mendapatkannya. Namun, takdir menyebelahinya apabila dia mendapat maklumat pada 12 September bahawa peguam itu ditangkap polis berhubung kes bunuh dan bakar Sosilawati dan tiga rakannya.

“Kemungkinan Sosilawati juga disuruh datang ke pejabat suspek bagi mendapatkan wang keuntungan berjumlah RM4 juta itu, namun kedatangannya dan tiga yang lain seolah-olah menempah ajal.

“Jika saya tidak menyedari kes pembunuhan itu, saya mungkin turut menerima nasib sama. Malah, saya diberitahu pihak berkuasa bahawa suspek dipercayai mengaku sudah merancang bagi membunuh saya dan rakan pada hari itu,” katanya.

Beliau membuat laporan mengenai kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat (IPPDKL), Selasa lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar ketika dihubungi semalam mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.